26 March 2012

iman mutiara


" Tak perlu menunggu dan menanti... 
niat sahaja tidak cukup untuk menzahirkan sesuatu ..
ia perlu dicari dan digali sehingga ditemui..
usaha tanpa jemu itu lah yang terbaik..
usah gentar dengan ujian yang mendatang..
janji istiqamah kan diri..
kerana DIA sentiasa ada untuk kita semua..."
-moja_juja-

"Iman tak dapat diwarisi, Dari seorang ayah yang bertakwa, Ia tak dapat dijual beli,Ia tiada di tepian pantai." Begitulah bait-bait lagu yang didendangkan oleh Raihan sebuah kumpulan nasyid tanah air. Benar, Iman ibarat permata berharga, perlu dicari dan dijaga sepenuhnya. Malahan Iman ini bukanlah suatu warisan yang diperturunkan zaman berzaman seperti adab yang diwariskan. Malahan Iman itu tidak boleh dijual beli. Jika boleh diniagakan, merugilah pada yang kurang upaya. Justeru, Maha Pengasih serta Maha Adilnya Allah adalah dengan meletakkan syarat bahawa Iman itu sesiapa boleh dapat. Tidak mengenal bangsa, kulit, kaya, miskin, rupa dan sebagainya. Namun jika sudah memperoleh, jangan pula dipersiakan!

            Lahirnya kita ke dunia dengan keadaan masih bersih tanpa dosa serta noda. Selepas itu segalanya bergantung pada corak didikan yang diberi oleh ibu bapa. Mahu mencorak anak menjadi orang yang beriman, dari awallah mulanya. "Bagaimana pula jika didikan agama yang diterap oleh ibu dan ayah cukup hebat. Tetapi akhirnya anak itu menjadi murtad, ada kes sebegini berlaku di Malaysia. Malahan ada pula pelajar sekolah agama yang berzina hingga melahirkan anak luar nikah. Kemudian dibuang merata bayi tersebut. Apa silapnya?" sedangkan mereka mendapat didikan dari ayah dan ibu yang hebat.
             Mungkin ibu dan ayah sudah memberi didikan agama yang cukup hebat kepada si anak, tetapi apakah mereka hanya mengajar tetapi tidak mendidik? Pengaruh persekitaran, apakah sudah diajar kepada sang anak. Melatih anak untuk berfikir secara hak dan batil. Jika dikatakan memberi pendidikan agama yang cukup hebat itu dari segi anak sudah pandai menghafal 30 juzuk al-Quran, dihantar anak ke sekolah pondok dan sebagainya, diberi segala macam input agama, tetapi outputnya bagaimana pula? Adakah berhasil jika kita hanya mengajar tetapi tidak mendidik secara telus, benar dan ikhlas. Kadang-kadang yang berlaku juga adalah salah satu bentuk ujian Allah untuk ibu bapa. Anak itu anugerah yang tidak ternilai dari Allah untuk para ibu bapa. Didiklah mereka menjadi generasi yang mampu membawa kegemilangan Islam ke puncak kembali.

            Sebagaimana Iman itu tidak dapat diwarisi, begitu juga apa yang berlaku pada zaman nabi-nabi. Mari kita renung sebentar kisah mengenai Nabi Nuh, berdakwah hampir seribu tahun namun hanya sedikit yang beriman. Lalu diturunkan Allah bencana berupa banjir besar yang memusnahkan kaumnya yang ingkar dan salah seorang daripada mereka adalah anaknya sendiri. Allah berfirman :(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir". Anaknya menjawab: "Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani oleh-Nya". Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. [Surah Hud :Ayat 42-43]
            Makanya ini sudah menjadi petanda kepada kita untuk mengetahui bahawa Iman itu bukan warisan.Namun, itu adalah suatu bentuk ujian untuk hamba-hamba-Nya yang beriman. Masyarakat yang memandang pula tidak harus menghukum sedemikian rupa. Tidak dinafik an, akhlak masyarakat sekarang semakin buruk disebabkan oleh masyarakat dulu juga. Jika kita tidak mengislahkan diri kita untuk menuju ke arah kebaikan, bagaimana kita untuk mendidik anak-anak dengan lebih baik.

            Jadi, marilah kita berubah untuk menghasilkan generasi soleh. Ibu bapa soleh, Insya-Allah akan akan berjaya mendidik anak-anak soleh dengan izin-Nya jua..

            Ingat, tidak akan berubah nasib sesuatu kaum kalau bukan kita yang mengubahnya sendiri. Mahu anak soleh, isteri solehah atau suami soleh? Kitalah yang harus menjadi soleh dan solehah dulu...:) sama-samalah kita berubah dan jadikan diri kita yang terbaik..untuk dapat sesuatu yang baik ia mesti dari kita dulu..kalau kita baik I’allah baiklah yang kita akan perolehi…RENUNG-RENUNGKANLAH…..

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا
Dan  kami memohon…Ya Tuhan kami, anugerahlah kepada kami, isteri dan zuriat yang menyejukkan mata, dan jadikanlah kami, imam bagi orang yang bertakwa". (Al-Furqan ayat 74).
هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء
Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.(al-imran ayat 38)
SALAM INGATAN DARI FATIHAH (LONG)

-copy paste dari note fb sahabat baik saya Siti Norfatihah..-

0 comments: